PERISTIWA PENTING DI ANTARA 2 HIJRAH

 

Pengenalan

Dalam sejarah perkembangan awal Islam terdapat 2 peristiwa penting iaitu Hijrah ke Habsyah dan Hijrah ke Madinah. Namun dalam 2 peristiwa ini, Nabi Muhammad hanya melibatkan diri dalam hijrah ke Madinah. Kerana itu jugalah peristiwa Hijrah tersebut digelarkan Hijratul-Rasul dan disambut oleh umat Islam pada setiap tahun sehingga kini. Dalam perjanjian Hijrah ke Habsyah, hanya sebahagian daripada pengikut Nabi yang terlibat. Hijrah ke Habsyah lebih bersifat sementara dan bertujuan mencari perlindungan. Kebanyakan daripada mereka kembali ke Arab apabila mendengar berita pengislaman Saidina Umat al-Khattab. Ada yang kembali semula selepas mendengar berita Hijrah ke Madinah.

 

Peristiwa Penting

Bantuan Perlindungan di Habsyah

Pada tahun ke-5 kerasulan, sebahagian daripada umat Islam telah berhijrah ke Habsyah untuk mencari perlindungan di sana. Nabi Muhammad sendiri menyarankan agar berhijrah ke Habsyah kerana ia dianggap sebagai Bumi Kebenaran dan penganiayaan tidak berlaku di sana. Terdapat 2 rombongan umat Islam berhijrah ke sana. Rombongan ini telah mendapat perlindungan di Habsyah walaupun Maharaja Najashy menganut agama Nasrani. Kejadian ini telah memberikan perangsang dan menguatkan azam Nabi Muhammad untuk terus berjuang menyebarkan Islam.

 

Pemulauan Islam (Moqato'ah)

Orang musyirikin telah melakukan pemulauan ke atas Nabi, orang Islam dan Bani Hasyim sebagai salah satu cara untuk menyekat perkembangan Islam. Pada mulanya, pemulauan ini hendak dilakukan selama 10 ahun tetapi setelah 3 tahun berlangsung, ia telah ditamatkan. Pemulauan ini telah menyebabkan umat Islam menghadapi penderitaan yang teruk. Pada tahun akhir pemulauan, 2 orang penyokong kuat Nabi iaitu Siti Khadijah dan Abu Talib meninggal dunia. Walaupun orang Islam menghadapi penderitaan tetapi peristiwa ini tetap memberi kesan positif terhadap perkembangan Islam. Penderitaan yang dialami telah melahirkan rasa simpati masyarakat umum terhadap Nabi sehingga ada antara mereka yang mendesak orang musyirikin untuk menamatkan pemulauan itu. Peristiwa ini tidak melemahkan semangat perjuangan orang Islam, malah orang-orang kaya di antara mereka telah mengorbankan kekayaan mereka bagi membantu saudara lain. Hal ini menyebabkan hubungan antara mereka bertambah rapat. Kegagalan orang musyirikin meneruskan rancangan ini telah menjatuhkan imej mereka pada pandangan kabilah-kabilah lain.

 

Pengislaman Umar

Umar Bin al-Khattab adalah antara sahabat Nabi yang agak lewat menerima Islam. Ketika orang Islam berhijrah ke Habsyah mereka menerima berita bahawa beliau telah memeluk Islam. Sebelum menerima Islam, Umar ialah seorang penentang kuat Nabi tetapi selepas menerima Islam, beliau menjadi sahabat Nabi yang kuat. Pengislaman beliau sangat besar ertinya terhadap perkembangan Islam. Nabi sendiri pernah berdoa supaya Allah membuka hati Umar untuk menerima Islam. Sebelum Islam, Umar mempunyai penyokong yang ramai. Dengan islamnya Umar, kedudukan Islam menjadi kuat dan orang Islam berani melakukan ibadat secara terbuka. Pengislaman Umar juga merupakan satu tamparan yang hebat kepada musyirikin Mekah kerana sebelum ini Umar bersungguh-sungguh menunjukkan penentangannya terhadap Islam.

 

Pengislaman Hamzah

Hamzah ialah seorang pemuda gagah Quraisy. Beliau ialah bapa saudara Nabi. Beliau tidak menyahut seruan Islam tetapi tidak terlibat dalam gerakan menentang Islam. Pengislamannya mungkin berlaku secara spontan. Hal ini kerana pada suatu hari semasa beliau balik dari berburu, beliau terlihat orang yang sedang menghina Nabi. Sebagai tokoh Bani Hasyim, beliau memarahi orang itu dan menyatakan pengislamannya. Beliau merupakan panglima Quraisy yang ulung dan disegani. Pengislamannya memantapkan lagi perjuangan Islam.

 

Peristiwa Israk dan Mikraj

Peristiwa ini berlaku pada 27 Rejab. Israk ialah perjalanan pada waktu malam dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestine. Mikraj pula ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke langit dan seterusnya hingga ke Sidratul Muntaha. Dalam peristiwa ini, Nabi telah diperlihatkan dengan pelbagai tanda kekuasaan Allah. Peristiwa ini menjadi ujian kepada orang Islam. Bagi yang beriman, iman mereka semakin mantap tetapi bagi yang kurang beriman, maka menjauhkan diri kerana menganggap Nabi mereka cerita. Peristiwa inilah ibadat sembahyang mula diwajibkan. Peristiwa ini memberi keterangan kepada Nabi walaupun orang musyirikin semakin kuat menentang.

 

Dakwah di Taif

Selepas tamatnya pemulauan, Nabi dengan ditemani oleh Zaid Bin Harithah telah pergi ke Taif untuk berdakwah kepada Bani Thaqif. Pemergian Nabi disebabkan beliau kecewa dengan sikap penduduk Mekah di samping Abu Talib dan Khadijah. Di Taif, sekali lagi Nabi dikecewakan. Mereka bukan sahaja menolak mentah-mentah dakwah yang disampaikan, malah telah mengupah kanak-kanak melontar Nabi dengan batu sehingga Nabi cedera. Ternyata dakwah di Taif gagal kerana Bani Thaqif mempunyai hubungan rapat dengan puak Quraisy. Sungguhpun Nabi kecewa, tetapi semangat untuk terus berdakwah tetap kukuh. Dari segi jangka panjang, dakwah ke Taif tidak gagal kerana sekurang-kurangnya Nabi telah berjaya mengislamkan seorang penganut Kristian, iaitu Addas. Peristiwa ini telah membuka jalan kepada pengislaman penduduk Taif pada 9 Hijrah. Kegagalan dakwah di Taif juga dianggap sebagai Muqaddinah (permulaan) kepada peristiwa Israk dan Mikraj. Peristiwa ini menggembirakan Nabi dan menambahkan keyakinan untuk terus berdakwah.

 

Bai'at Aqabah

Apabila Nabi sedar penduduk Mekah tidak mahu menerima Islam, Nabi mengalihkan perhatian kepada orang luar Mekah. Pada tahun ke-11 selepas kerasulan Nabi, 6 orang penduduk Yathrib telah datang menemui Nabi dan menyatakan keislaman mereka. Pada tahun berikutnya, 12 orang lagi datang dan mengadakan ikrar yang dikenali sebagai Bai'at Aqabah I. Apabila mereka pulang ke Madinah, Nabi menghantar Mus'ab Bin Umair untuk menjadi guru dan imam mereka. Pada musim Haji tahun berikutnya, seramai 73 orang lagi mengadakan ikrar Aqabah II. Dengan adanya ikrar ini, bilangan penganut Islam telah bertambah bilangannya. Secara tidak langsung, tenaga pendakwah bertambah. Penduduk Yathrib berjanji akan menyebarkan Islam di sana. Ikrar ini dianggap sebagai Muqaddinah kepada peristiwa Hijrah yang berlaku pada 622 Masihi.

 

Rumusan

Jangkamasa di antara Hijrah ke Habsyah dengan Hijrah ke Madinah mengandungi banyak peristiwa penting yang memantapkan lagi perjuangan Nabi Muhammad. Setiap peristiwa yang berlaku sama ada yang mendatangkan kesedihan atau kegembiraan kepada baginda ternyata mempunyai signifikasinya yang tersendiri. Sebagai seorang pejuang yang memandang jauh ke hadapan, baginda menggunakan setiap pengajaran daripada kegagalan atau kegembiraan daripada setiap kejayaan untuk mengatur langkah yang lebih padu dan teratur.

 

[Main]