Literasi komputer dan Sekolah Bestari



A computer literate....is one who understands how computers work and the role of computers in society, and who can use the computer comfortably

SELAMA ini, literasi yang berasaskan kebolehan membaca, menulis dan mengira (atau selalu disingkatan sebagai 3R) memang merupakan tiang seri pendidikan.

Memandangkan besarnya pengaruh komputer ke atas kita di era teknologi maklumat ini, maka adalah wajar dilengkapi satu lagi literasi yang baru. Literasi yang dimaksudkan itu tidak lain daripada literasi komputer.  Literasi tambahan ini penting untuk membuatkan kita, sama ada sebagai individu atau kelompok, menjadi lebih produktif, kreatif dan inovatif.

Banyak definisi tentang literasi komputer sudah diberi oleh para sarjana. Diantaranya, Luchermann (1982) menerangkan ‘Computer literacy means, you have to understand what computer is and what makes it do, what it does...you must be able to communicate with it’. Watt (1982) pula menjelaskan ‘I think of computer literacy as a cultural phenomenon which includes the full range of skills, knowledge, understandings, values and relationships of a computer-based society’.  Sementara itu, Richman (1982) berpendapat ‘A computer literate....is one who understands how computers work and the role of computers in society, and who can use the computer comfortably’.

Sekiranya definisi yang pertama itu menitik-beratkan pengetahuan tentang bagaimana komputer beroperasi, maka definisi yang kedua dan ketiga menekankan kemahiran untuk dapat menggunakan komputer. Memang, pada tahun 1970-an, tafsiran literasi komputer lebih tertumpu pada aspek pemahaman tentang pembangunan peralatan dan perisian komputer.

Orang yang tahu komputer, atau computer literate, dewasa itu dijangka mengetahui bukan sahaja komponen dalaman dan luaran komputer, seperti central processing unit, kekunchi (keyboard), motherboard, hard drive, monitor, pencetak, tetapi juga bahasa pengaturcara (programming language).

Bahasa pengaturcara atau bahasa arahan komputer itu penting kerana tanpa mengetahuinya, tidak ada seorangpun dapat berkomunikasi dalam erti kata mengarah komputer membuat kerja yang dikehendaki. Sehingga kini, bahasa pengaturcara yang popular ialah BASIC misalnya.

Sementara itu, pembangunan perisian yang pesat seperti yang berlaku dari tahun 1970an hingga awal 1890an telah menyebabkan fokus penggunaan komputer beralih daripada pembangunan peralatan komputer kepada aplikasinya. Diantara aplikasi komputer yang popular ialah MS-DOS (3, 5, 6, dan 6.2), Windows 3.1 dan Windows 95, Word Perfecet 6.0, Microsoft Office (Word, Excel, Power Point), Lotus Smart Suite, Harvard Graphics, Freelance, dan juga Image Viewing Software Packages.  Aplikasi itu membolehkan kita memanipulasi komputer, terutamanya PC (komputer peribadi) untuk membuat kerja seperti taip-menaip, spreadsheet dan pemerosesan data.

Selaras peningkatan kapasiti komputer, lebih-lebih lagi semakin lama semakin ramai pengguna sehinggakan ia digunakan didalam pelbagai sektor terutamanya, di dunia bisnes, pengurusan dan pendidikan, misalnya, orang ramai menjadi tertarik hati untuk mengkaji semula definisi literasi komputer pada pertengahan tahun 1980-an.

Perhatian kini lebih diberikan kepada kemahiran menggunakan komputer, iaitu aplikasi komputer, dan bukan lagi pembinaan komputer seperti sedekad yang lalu.  Seperkara yang menarik ialah walaupun pengaturcaraan masih penting, tetapi ianya tidak semestinya diketahui semua orang yang ingin menggunakan komputer.

Namun demikian, literasi komputer yang difahami kini meliputi aplikasi komputer, mengetahui serba sedikit tentang pengaturcaraan, dan juga mengetahui sedikit sebanyak komponen asas komputer, yaitu CPU, monitor, kekunci, pencetak tetikus (mouse) dan tahu memasang dan membuka komponen itu bila diperlukan.
Bagaimanapun pelajar yang mengikuti kursus sains komputer di kolej dan universiti perlu mahir tentang membuat pengaturcaraan, selain mengetahui dengan mendalam tentang program aplikasi serta tahu membuat penilaian tentang perisian. Sementara itu, pembangunan dan penjagaan (servicing) komponen peralatan komputer itu menjadi tanggungjawab jurutera dan kakitangan teknikal komputer, yaitu disebut sebagai kejuruteraan perkomputeran.

Setelah penggunaan komputer diperluaskan sebagai alat pengajaran dan pendidikan di sekolah, guru yang computer literate bukan sahaja harus tahu menggunakan perisian komputer (di peringkat permulaan), tetapi juga membangunkan perisian yang sesuai (setelah diberi latihan dan kursus menggunakan bahasa hypermedia, terutama program authoring).

Pembangunan perisian komputer atas daya usaha sendiri itu penting untuk maksud mengajar mata pelajaran berkenaan, sepertimana menyediakan alat bantu pengajaran selama ini. Demikian juga halnya dengan murid-murid.

Menurut rancangan, komputer akan diintegrasikan sebagai alat pengajaran dan pembelajaran. Percubaan seumpama itu akan dilakukan mula-mulanya di beberapa buah sekolah bestari yang sudah dikenalpasti sebelum diperluaskan kepada semua sekolah di seluruh negara nanti.

Penggunaan komputer dalam pendidikan tentunya juga akan menyaksikan pengintegrasian teknologi CD-ROM, pangkalan data, multimedia, Internet dan lain-lain. Aplikasi kesemua teknologi itu akan mengubah imej guru daripada sebagai sumber pengetahuan, maklumat dan kebijaksanaan kepada peranan sebagai facilitator of knowledge.

Selain itu, segala perkembangan baru yang akan berlaku itu akan menjadi telependidikan satu realiti di Malaysia, selain teleperbankan dan teleperubatan yang selalu dikaitkan dengan pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC).  Yang ketara daripada perbincangan disini ialah sejarah perkembangan literasi komputer amatlah menarik kerana sentiasa berkembang, lebih-lebih setelah memasuki domain multi-media.

Pada asasnya literasi komputer ialah tahu menggunakan komputer dengan cekap dan berkesan. Dari segi itu, maka literasi komputer adalah functional literacy di era maklumat ini.