Tanggungjawab Saintis


      Faktor kewangan adalah nadi dalam kehidupan hari ini.  Untuk mendapatkan seorang saintis yang mahir di dalam sesuatu bidang, negara perlu membelanjakan wang yang banyak untuk melatihnya. Selalunya seseorang saintis yang cemerlang adalah bekas pelajar pintar dan berkebolehan yang dibiayai pengajiannya dari peringkat rendah lagi.

       
      SETIAP individu di dalam masyarakat mempunyai tanggungjawab masing-masing. Tanggungjawab ini merangkumi skop yang luas samada kepada individu lain di dalam masyarakat atau kepada kelompok masyarakat itu sendiri secara keseluruhannya.
      Tidak mungkin kita dapat mengasingkan diri secara total dari keadaan ini sekiranya kita ingin menjalani kehidupan yang normal.
      Tahap tanggungjawab ini bergantung kepada fungsi individu sebagai anggota masyarakat dan merujuk kepada kerjaya yang dilakukannya. Semakin penting (bukan glamor) fungsi kerjaya yang dilakukan maka semakin besarlah tanggungjawab yang perlu dipikulnya.

      Di dalam senario hari ini tidak banyak yang diperkatakan tentang kerjaya sebagai seorang saintis berbanding dengan kerjaya lain seperti yang dikecapi oleh tokoh-tokoh korporat atau ahli-ahli politik atau “public figure” yang lain.

      Walaupun kerjaya ini diakui penting untuk mencapai tahap negara maju, tidak banyak yang diketahui oleh masyarakat kebanyakan. Keadaan “terpinggir” ini tidak begitu sesuai untuk perkembangan kerjaya yang dikatakan penting ini.  Dari sudut yang mudah difahami, kerjaya yang tidak menonjol tidak mempunyai tanggungjawab besar kepada masyarakat.

      Apabila ini berlaku maka wujudlah keadaan “melukut di tepi gantang”. Adakah seseorang saintis itu mempunyai tanggungjawab yang lebih berbanding individu lain yang disebabkan oleh kerjayanya sebagai seorang “saintis”?

      Dalam keadaan bagaimanakah golongan saintis menjadi pakar rujuk terpenting dalam kemajuan sesebuah negara?  Adakah masyarakat berhak menyoal apakah sumbangan yang diberikan oleh ahli-saintis terhadap kehidupan mereka atau mengakui khidmat golongan ini yang sering dilupakan dalam ledakan budaya korporat hari ini?

      Faktor kewangan adalah nadi dalam kehidupan hari ini.  Untuk mendapatkan seorang saintis yang mahir di dalam sesuatu bidang, negara perlu membelanjakan wang yang banyak untuk melatihnya. Selalunya seseorang saintis yang cemerlang adalah bekas pelajar pintar dan berkebolehan yang dibiayai pengajiannya dari peringkat rendah lagi.

      Setelah mencapai kelulusan di dalam bidang yang tidak begitu difahami ramai, kepintaran dan kebolehan ini tidak berguna jika peralatan makmal tidak mencukupi atau telah ketinggalan zaman.
      Kos yang perlu ditanggung untuk menzahir sesebuah makmal yang baik adalah tinggi. Dalam keadaan ini secara tidak langsung menjadikan kerjaya sebagai saintis itu sebagai kerjaya yang mahal tetapi perlu ditanggung oleh masyarakat hasil dari kutipan cukai.

      Ini bermakna golongan saintis mempunyai tanggungjawab untuk memberikan pulangan semula terhadap pelaburan yang diberikan. Pulangan ini mungkin tidak berbentuk kewangan secara langsung tetapi lebih kepada peningkatan pengetahuan, perkembangan industri, pendidikan, penjagaan alam sekitar dan sebagainya. Persepsi umum yang sentiasa mengharapkan pulangan berbentuk material perlu diubah.

      Dari skop yang lebih luas saintis perlu menerima hakikat bahawa penyelidikannya perlulah mengikut keperluan masyarakat. Namun begitu di dalam kebanyakan situasi, saintis adalah golongan yang dikatakan berada di atas “tengkuk gergasi”.

      Pengetahuan dan kepakaran yang dimiliki membolehkan mereka melihat jauh ke depan tentang apa yang akan berlaku hasil dari penemuan mereka. Contohnya penggunaan bom atom di dalam perang dunia kedua dahulu dari awal lagi telah dibantah keras.

      Perlu ditegaskan di sini bahawa bantahan tersebut dimulakan oleh saintis yang menemuinya. Ini adalah kerana mereka amat memahaminya dan dapat menjangkakan apa yang akan berlaku di masa akan datang sekiranya senjata sebegini dimajukan.
      Kita tidak perlu risau tentang kesan positif tetapi sebarang kesan negatif memerlukan penyelidikan lain untuk mengatasinya. Sebagai contoh kos yang mahal perlu disediakan untuk mencari bahan yang mesra persekitaran sebagai pengganti kepada bahan penyejuk CFC yang memusnahkan lapisan ozon.

      Saintis juga adalah golongan yang diharapkan dapat memberikan input kepada para pembuat dasar. Apabila sesuatu dasar negara terutamanya yang melibatkan saintis dan teknologi ingin dirangka dan dilaksanakan, para saintis bertanggungjawab menyediakan segala maklumat yang diperlukan.

      Selain itu mereka juga perlu sentiasa memberikan ingatan tentang kepentingan keseimbangan dalam melaksanakan berbagai-bagai aktiviti. Pengetahuan dan ilmu yang dimiliki oleh saintis tanpa mengira disiplin kepakaran mereka di peringkat tinggi sentiasa memberikan isyarat betapa pentingnya keseimbangan ini dijaga.

      Kecenderungan yang keterlaluan terhadap sesuatu perkara akan meninggalkan ruang vakum terhadap perkara lain yang seterusnya mengwujudkan kepincangan yang tidak dikehendaki dalam keseluruhan sistem. Kerapkali sekiranya kepincangan yang sepatutnya dapat dihentikan semasa di peringkat mikro cuma disedari setelah menjadi terlalu besar dan sukar dikawal.

      Dari aspek disiplin saintis perlu memastikan penyelidikan yang dijalankan adalah beretika serta tidak melanggar batas-batas keugamaan dan moral. Sebagai contoh baru-baru ini kita dihebohkan tentang penemuan teknik pengklonan manusia yang secara tidak langsung memberikan imej yang tidak sihat kepada para saintis.

      Sebagai penyelidik tidak dinafikan mereka perlu mempunyai sifat sedikit sifat “gila-gila” yang terkawal dalam meneroka sesuatu yang baru.
      Namun mereka wajib memastikan mereka tidak menjadi saintis “gila” semasa menjalankan penyelidikan kerana ia membawa implikasi yang amat buruk. Seseorang saintis mempunyai tanggungjawab memastikan penyelidikan mereka tidak membawa kemusnahan terhadap alam sekitar, haiwan atau terhadap kehidupan manusia itu sendiri.

      Penyelidikan yang melibatkan penggunaan bahan kimia atau ujian terhadap haiwan dalam keadaan yang tidak wajar contohnya perlu dihentikan.
      Apa yang jelas di sini para saintis tidak pernah diberikan lesen untuk berlaku biadap terhadap kehidupan atau makhluk lain di muka bumi ini walaupun di atas nama penerokaan sains. masyarakat biasa tidak terdaya untuk memahami semua perkara yang sedang dikaji oleh para saintis. Terpulang kepada mereka sendirilah untuk meletakkan disiplin dalam melaksanakan tanggungjawab itu.
      Apabila saintis memperkenalkan sesuatu penemuan yang baru yang boleh digunakan sehari-hari, adalah penting dipastikan bahwa masyarakat diberikan penjelasan dan penerangan yang secukupnya. Sistem kehidupan di muka bumi ini adalah amat kompleks.

      Sekiranya salah satu dari elemennya diganggu atau diabaikan maka ianya akan memberikan kesan kepada sistem keseluruhan itu sendiri dalam jangka panjang.
      Sebagai contoh masalah pencemaran lautan, penyakit Aids, penagihan dadah, penebangan hutan dan pelupusan lapisan ozon adalah kudis-kudis kehidupan zaman moden hasil dari kemajuan yang dicapai. Para saintis memikul tanggungjawab menjalankan penyelidikan dan mencari jalan untuk mengatasi masalah-masalah ini.

      Tanggungjawab yang dipikul oleh saintis juga merangkumi peranannya semasa berlakunya peperangan. Mungkin ini tanggungjawab saintis yang paling berat. kerana tanggungjawab ini jugalah imej saintis kadangkala jatuh ke tahap yang mendukacitakan.
      Walaupun manusia perlu mengelakkan dari berperang tetapi kadangkala ianya tidak dapat dielakkan lagi di atas pelbagai sebab. Pengajaran dari peperangan Arab-Israel dan Perang Teluk menunjukkan bahwa penggunaan sains dan teknologi memainkan peranan penting untuk mencapai kemenangan. Ini semua dicapai hasil dari penyelidikan yang dilakukan oleh saintis.

      Dari aspek lain yang menyedihkan, hasil penemuan ini juga membawa kepada pembinaan senjata untuk tujuan membunuh dengan “lebih berseni dan lebih cepat”.  Penggunaan senjata nuklear, kimia dan biologi akan membawa kesan yang amat dahsyat dan menyakitkan. Jika saintis telah membuka ruang kepada pembinaan senjata sebegini maka mereka jugalah yang perlu bertanggungjawab menahan penggunaannya.
      Jelas bahawa peranannya yang dipikul oleh saintis jauh melewati dinding-dinding makmal sahaja. 
      Walaupun golongan korporat kelihatan begitu berperanan mengatur kehidupan hari ini masih terdapat banyak situasi di mana para saintis perlu memenuhi tanggungjawab mereka kepada masyarakat yang telah melabur untuk mereka.

            
    Oleh: SYED YUSAINEE YAHAYA