Jurnal Keningau

PANDUAN REFLEKSI PRAKTIKUM

oleh Mohd Firdaus bin Haji Abd. Salam

 
 

DEFINISI

Menurut Schon (1990), seseorang dikatakan membuat refleksi sekiranya beliau mengamalkan proses membentuk kerangka, membentuk semula kerangka, lalu merancang tindakan yang baru secara berterusan. Proses ini dilihat dalam satu pusingan yang terdiri daripada empat peringkat: mencetus; membentuk kerangka (kefahaman); membentuk semula kerangka (kefahaman baru) dan merancang. Sementara Lee Shok Me (1997) merujuk refleksi sebagai renungan yang mendalam untuk mencapai kesedaran atau pemahaman terhadap sesuatu perkara. Proses ini perlu dipertimbangkan secara teliti dan terperinci untuk memperoleh pengertian dan keputusan. Dalam konteks pembelajaran, Boud et. al. (1985) mendefinisikan refleksi sebagai: "Generic term for intellectual and effective, in which individuals engage to explore their experience in order to lead to new understandings and application."

Justeru, amalan refleksi merupakan perlakuan memikirkan semula proses pengajaran dan pembelajaran. Amalan refleksi memerlukan penerokaan unsur-unsur yang ketara dan tersirat. Penerokaan ini melibatkan aktiviti minda yang mencantumkan segala kemahiran berfikir. Kesimpulannya, refleksi merupakan renungan mendalam yang dilakukan agar kefahaman yang jitu dalam sesuatu perkara dapat dimaksimumkan dengan cara menilai dan menimbangkan secara kritis bersandarkan bukti logikal agar rumusan yang bernas dapat dihasilkan. Dalam konteks praktikum, renungan kendiri merujuk kepada aktiviti mengkaji semula proses keberkesanan pengajaran pembelajaran yang telah dilakukan dengan tujuan mempertingkatkan kemahiran guru.

 

OBJEKTIF

Antara lain objektif refleksi, ialah:

  • mengenal pasti kekuatan dan kelemahan dalam pengajaran dan pembelajaran,

  • mengambil tindakan susulan untuk mempertingkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran,

  • meningkatkan pengetahuan dan kemahiran keguruan, dan

  • menjadikan refleksi sebagai satu budaya profesion guru.

GARIS PANDUAN

Bila penulisan refleksi hendak dibuat? Apa yang perlu ditulis? Di mana? Bagaimana? Persoalan ini sering ditanya oleh guru pelatih, dan kegagalan untuk mentafsir persoalan-persoalan ini mengakibatkan ramai yang tidak dapat menghasilkan penulisan refleksi dengan baik. Seterusnya amalan refleksi tidak jelas atau tidak dilaksanakan, sedangkan komponen ini adalah aspek yang dinilai dalam penilaian praktikum.

Penulisan refleksi hendaklah dibuat sebaik-baik sahaja selesai setiap sesi pengajaran. Perkara-perkara yang ditulis menggambarkan semula keseluruhan pengajaran yang telah dilakukan. Antara aspek-aspek penting yang perlu diberi penekanan dalam penulisan ialah:

  • pencapaian objektif pengajaran,

  • kekangan-kekangan dan faktor-faktor penyebab,

  • kejayaan-kejayaan dan faktor-faktor penyebab,

  • langkah-langkah yang difikirkan boleh membaiki pengajaran,

  • faktor-faktor lain yang dapat membantu, dan

  • lain-lain yang sesuai dan difikirkan perlu.

Sebagai panduan, jawapan kepada soalan-soalan ini boleh digunakan untuk menulis refleksi.

  • Apakah perasaan saya terhadap pengajaran tadi? Apakah yang paling menarik tentang pelajaran tadi?

  • Adakah pembelajaran telah berlaku?

  • Sejauh mana objektif pengajaran dan pembelajaran tercapai? Adakah pelajar telah mempelajari kandungan pelajaran? Apakah bukti penilaian saya dalam aspek ini?

  • Adakah pelajar menggunakan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam pelajaran ini? Apa buktinya?

  • Apakah faktor-faktor yang membantu/menghalang pencapaian objektif?

  • Apakah langkah yang difikirkan boleh membaiki/mempertingkatkan pengajaran dan pembelajaran?

  • Sekiranya saya mengulangi pelajaran ini, bagaimana saya boleh meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran? Bagaimanakah pengalaman ini dapat membantu saya mengajar dengan lebih berkesan?

Salah satu kelemahan penulisan refleksi yang lazimnya dilakukan oleh guru pelatih ialah penulisan kenyataan yang terlalu umum dan tidak berasas.

  • Contoh penulisan refleksi umum: Objektif pelajaran tercapai. Pelajar telah mengikuti pelajaran dengan baik.

  • Contoh penulisan refleksi yang sepatutnya: Objektif 1 dan 2 dapat dicapai oleh pelajar. Objektif 3 (penulisan) tidak dapat disempurnakan oleh kumpulan Anggerik kerana soalan-soalan terlalu banyak. Bimbingan rakan sebaya akan diatur untuk kumpulan ini dan aras soalan akan disesuaikan.

Catatan refleksi ini ditulis pada ruang ulasan kendiri dalam buku rancangan pengajaran. Catatan ini aka disemak oleh guru pembimbing/pensyarah penyelia dan boleh dijadikan asas perbincangan bersama.

Dalam penilaian praktikum Fasa I dan II, selain catatan refleksi, pemikiran refleksi juga akan diberi penekanan. Pemikiran refleksi dapat dikesan melalui catatan refleksi dan tindakan susulan yang dilaksanakan secara berterusan serta memperlihatkan perubahan yang positif. Sehubungan itu, tahap yang memperlihatkan pemikiran refleksi amat baik adalah memenuhi kriteria-kriteria.

  • Dapat menilai kekuatan dan kelemahan diri.

  • Dapat menghubung kait sebab dan akibat tentang tindakan yang diambil.

  • Dapat mengaitkan sebab dan akibat membuat inferens.

  • Dapat meramal kesan sesuatu tindakan dan bertindak berlandaskan bukti, seterusnya merancang langkah susulan.

Sementara itu, catatan refleksi yang menunjukkan tahap amat baik adalah berdasarkan kriteria-kriteria:

  • Menunjukkan kematangan dalam membuat refleksi kritikal dalam ulasan kendiri.

  • Kebolehan membuat tindakan susulan.

  • Memperlihatkan perkembangan dan peningkatan kualiti diri.

JURNAL

Jurnal ialah satu catatan berterusan mengenai sesuatu peristiwa, masalah, pencapaian atau bidang yang perlu diberi penekanan. Lazimnya penulisan jurnal dibuat berdasarkan maklumat-maklumat yang terdapat dalam catatan refleksi dan catatan jurnal. Jurnal bertujuan membantu pelatih merenung, menilai dan menjadikan asas untuk mengambil tindakan susulan bagi meningkatkan profesionalisme keguruan.

Pelatih dikehendaki menulis dan menyimpan jurnal sepanjang praktikum. Penulisan ini dicadangkan seminggu sekali, iaitu minggu akhir pada setiap minggu. Buku jurnal hendaklah sentiasa dibawa bersama-sama ke sekolah sepanjang menjalani praktikum dan sentiasa dikemas kini untuk disemak.

Catatan jurnal harus meliputi bidang kurikulum, kokurikulum, perhubungan interpersonal dalam masyarakat sekolah, peristiwa, tugas dan tanggungjawab guru, kebajikan pelajar serta cadangan/pandangan dan sebagainya.

Buku jurnal adalah salah satu dokumen portfolio. Penulisan jurnal harus menunjukkan amalan refleksi yang jelas dan berterusan.

Berikut adalah format penulisan jurnal yang boleh dijadikan panduan:

Tarikh:

Minggu:

1.   Peristiwa sepanjang minggu:

  • kokurikulum

  • perhimpunan rasmi

  • mesyuarat

  • peristiwa penting

  • lain-lain

2.   Masalah/Kekangan

  • Pengajaran Pembelajaran

  • Pengangkutan

  • Kewangan

  • Lain-lain

3.   Pencapaian/Kejayaan

  • Pengajaran Pembelajaran

  • Sukan

  • Guru Bertugas

  • Lain-lain

4.   Pandangan/Cadangan

  • Pengajaran Pembelajaran

  • Aktiviti kokurikulum

  • Lain-lain

Disediakan:                                           Disemak:

Tarikh:
 

Walau bagaimanapun pemilihan aspek yang harus diberi penekanan serta olahan penulisan bergantung pada kreativiti pelatih.

KESIMPULAN

Penulisan refleksi merupakan salah satu aspek penting dalam penilaian praktikum. Lebih penting bagi penulisan ini diharap akan dapat menjana pemikiran reflektif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Penulisan jurnal seharusnya menggambarkan keseluruhan aktiviti pelatih dalam satu tempoh yang telah ditetapkan. Para pelatih harus memastikan perkara-perkara yang relevan dan kritikal sahaja yang diberi penekanan. Perkara-perkara tersebut patut dijadikan asas perbincangan pelatih dengan guru pembimbing/pensyarah penyelia.

©JPMMPKS, 2004

1