Sumber
PENGENALAN LINGUISTIK
Susunan Cikgu Isa
Definisi Linguistik  
Perkataan linguistik dikatakan berasal daripada perkataan Latin “lingua” yang bermaksud bahasa. Perkataan itu digunakan dalam bahasa-bahasa lain menjadi langue (Perancis), lingua (Itali), lengua (Sepanyol) dan linguistics (Inggeris). Linguistics ditakrifkan sebagai “the science of languages” atau “comparative grammar” (Cassell Concise English Dictionary, 1995:790). Kamus Dewan Edisi Ketiga (1996:814) pula mentakrifkan linguistik sebagai “kajian tentang bahasa”.  Yang berikut ialah takrifan beberapa istilah linguistik: 
  • linguistik (linguistics)  Pengkajian saintifik terhadap bahasa, yang antara lain mencakupi linguistik antropologi, psikolinguistik, sosiolinguistik, dan neurolinguistik. (Kamus Linguistik, 1997:148)

  • linguistik am (general linguistics)  Istilah umum bagi cabang-cabang pengkajian linguistik yang menghasilkan konsep asas, teori, model dan kaedah, dan biasanya merangkumi prinsip analisis dan pemerian dalam pengkajian fonologi, tatabahasa, dan kosa kata, serta pengkajian grafemik, sejarawi, perbandingan, dan dialek. (linguistik teori) (Kamus Linguistik, 1997:149)

  • linguistik antropologi (anthropological linguistics)  Linguistik yang menerapkan teknik penyelidikan antropologi dan linguistik untuk mengkaji bahasa komuniti bahasa yang tidak mempunyai sistem tulisan dan tradisi persuratan. Contohnya, teknik yang digunakan oleh F. Boas dan E. Sapir. (Kamus Linguistik, 1997:149)

  • psikolinguistik (psycholinguistics) Bidang yang menggabung usaha para ahli psikologi, yang cuba menerangkan sama ada hipotesis tertentu tentang pemerolehan bahasa dan kecekapan, seperti yang disarankan dalam teori linguistik semasa, mempunyai asas yang kukuh dari segi persepsi, ingatan, kecerdasan, atau motivasi. (Kamus Linguistik, 1997:193)

  • psikologi linguistik (psychological linguistics)  Istilah umum untuk beberapa pendekatan yang berbeza terhadap bahasa, dari kaca mata psikologi. (Kamus Linguistik, 1997:193)

  • linguistik psikologi (psychological linguistics)  Istilah umum untuk pelbagai pendekatan dalam pengkajian bahasa dari segi psikologi. (Kamus Linguistik, 1997:153)

  • sosiolinguistik (sociolinguistics)  Cabang linguistik yang mengkaji semua aspek hubungan antara bahasa dan masyarakat.

“Dalam hal ini, linguistik menjadi satu cabang ilmu yang mempunyai disiplinnya yang tersendiri, sama tarafnya dengan disiplin-disiplin bidang ilmu yang lain. Dengan itu, linguistik mempunyai prinsip-prinsipnya yang tertentu. Sebagai satu bidang sains, ilmu linguistik mengkaji dan menganalisis sesuatu bahasa secara empirikal dan objektif, iaitu mengkaji sesuatu bahasa itu tanpa dipengaruhi oleh agak-agakan, ramalan, sentimen atau falsafah yang tertentu.” (Ab. Rahman, Yap dan Ab. Rahim, 1997:25--26)
Aktiviti Reflektif

1.  Mengapakah linguistik dianggap sebagai satu bidang sains? Anda boleh mendapat jawapan ringkas tentang perkara ini dalam buku Linguistik Am untuk Guru Bahasa Malaysia oleh Abdulah Hassan (1980:1--2). Arbak Othman (1983:1-4) memberi huraian yang agak terperinci. Menurutnya, linguistik memenuhi syarat utama sains iaitu ada sesuatu yang dikaji iaitu bahasa. Kajian itu pula mempunyai metode tertentu, ada hipotesis, terkawal dan objektif. Kajian itu juga memenuhi empat peringkat abstraksi iaitu pemerhatian, klasifikasi, formulasi hipotesis, dan penubuhan tanggapan yang bersifat teoritis. 

2.  Apakah maksud sains?

1.2  Linguistik Deskriptif

Ilmu linguistik sangat luas. Umumnya ilmu linguistik boleh dibahagi kepada dua bidang utama iaitu mikrolinguistik dan makrolinguistik. Mikrolinguistik ialah pengkajian bahasa yang melibatkan analisis bahan linguistik secara langsung seperti bunyi, kata dan ayat. Makrolinguistik pula ialah pengkajian bahasa yang meneliti segala jenis perhubungan antara manusia, termasuk ciri paralinguistik seperti bisikan, mimik muka, gerak badan, suara tinggi, suara mersik, dan suara garau.

Dari segi tujuan, ilmu linguistik boleh dibahagikan kepada linguistik teori (linguistik am) dan linguistik terapan. Linguistik terapan (applied linguistics) ialah penerapan ilmu linguistik dalam bidang yang berkaitan dengan pedagogi, psikologi, perkamusan dan terjemahan.

“Ilmu linguistik mempunyai bidang pengkajian yang sangat luas sekali. Pengkajian bahasa boleh dilakukan dari berbagai sudut. Dengan berdasarkan aspek-aspek tertentu yang ditinjau dalam pengkajian bahasa itu, maka ilmu linguistik dapat berdiri sebagai salah satu daripada disiplin-disiplin yang berikut:

(a)  linguistik umum
(b)  linguistik huraian (deskriptif)
(c)  linguistik perbandingan (komparatif)
(d)  linguistik sejarah (historis)”  (Arbak, 1983:4-5)

“Linguistik huraian pula merupakan bidang yang menghuraikan bahasa mengikut cara-cara saintifik yang meliputi usaha-usaha menentukan kaedah-kaedah dan teknik-teknik yang boleh digunakan untuk menghuraikan sesuatu bahasa tertentu sahaja. Linguistik jenis ini juga lebih merupakan bidang disiplin yang mempraktikkan teori-teori dan teknik-teknik tertentu linguistik umum apabila seseorang ahli bahasa itu berhadapan dengan tugas menghuraikan aspek-aspek tertentu atau segala aspek bahasa tertentu yang dihuraikannya itu. Apa yang dihuraikan oleh ahli bahasa tidak lain adalah sistem bahasa atau keseluruhan yang menyatakan bagaimana bahasa itu bekerja. Antara yang dihuraikan dalam bidang linguistik ini ialah aspek-aspek fonetik, fonemik, morfologi mahupun sintaksis sesuatu bahasa itu.” (Arbak, 1993:5)

linguistik deskriptif (deskriptif linguistics)  1. Pengkajian yang mengamati dan menganalisis ciri bunyi, tatabahasa, dan kosa kata bahasa pada waktu tertentu.  2. Pendekatan yang digunakan oleh ahli linguistik Amerika, seperti L. Bloomfield yang mengkaji bahasa orang asli Amerika dengan menggunakan teknik kerja lapangan. (Kamus Linguistik, 1997:150)

“Apa-apa sahaja yang disebut ‘tatabahasa umum’ tergolong ke dalam bidang linguistik sinkronik….” (Ferdinand de Saussure, 1993:117)

Ab. Rahman, Yap dan Abb. Rahim (1997:28) menjelaskan, linguistik deskriptif menghuraikan pelbagai aspek sesuatu bahasa seperti bunyi-bunyi vokal, konsonan, diftong, sistem suku kata, perkataan, frasa, klausa, dan ayat itu tanpa membuat perbandingan dengan bahan-bahan daripada bahasa-bahasa lain. Menurut mereka lagi, cabang linguistik deskriptif pula ialah fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik. Hal ini berbeza sedikit dengan pandangan Lutfi Abas (1975:3) yang menyatakan linguistik deskriptif  meliputi bidang fonologi, morfologi dan sintaksis sahaja.

linguistik sinkronik (synchronic linguistics)  Pendekatan dalam cabang linguistik yang mengkaji bentuk satu bahasa atau lebih pada peringkat atau satu masa perkembangan tertentu. (Kamus Linguistik, 1997:153)

linguistik diakronik (diachronic linguistics)  Pendekatan pengkajian linguistik yang mengkaji perubahan yang dilalui dalam tempoh sejarah yang lama. (Kamus Linguistik, 1997:150) Cabang linguistik ini dinamakan juga linguistik sejarah.

Istilah lain yang digunakan untuk linguistik deskriptif ialah linguistik huraian dan linguistik pemerian. Istilah lain bagi linguistik sinkronik ialah linguistik statik.
AKTIVITI REFLEKTIF
“Tiap-tiap pengarang buku tatabahasa menghadapi persoalan sama ada untuk bersikap deskriptif atau preskriptif dalam membuat huraiannya. Ajaran ilmu linguistik moden meminta kita mengamalkan pendekatan deskriptif, yakni semata-mata menghuraikan gejala bahasa sebagaimana gejala itu wujud dan digunakan oleh penutur-penuturnya. Tetapi pendirian seperti ini tidak selaras dengan konsep tatabahasa rujukan atau pegangan, iaitu satu hasil yang dapat memberi panduan dan menjadi asas rujukan penutur-penuturnya.” (Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, 1993:xxi)
        Rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu dan baca sambungan petikan ini. Kemudian lakukan refleksi kendiri sama ada anda hendak menyokong pendirian deskriptif, preskriptif atau mengambil jalan tengah
Tambahan: Bahasa
Kamus Linguistik (
1997:27) mentakrifkan bahasa (language) sebagai keupayaan fitrah manusia yang berupa satu sistem lambang bunyi suara arbitrari yang dipersetujui bersama oleh satu kelompok sosial dan digunakan sebagai alat berinteraksi. Kamus Linguistik Edisi Ketika (1996:87) mentakrifkan bahasa sebagai “sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dengan individu yang lain dan sebagainya).”
GLOSARI ... kosa kata (vocabulary/inventory) (leksikon) 1. Khazanah kata yang dimiliki oleh sesuatu bahasa.  2. Khazanah kata yang dimiliki oleh pengguna sesuatu bahasa. (Kamus Linguistik, 1997:141)

.BIBLIOGRAFI

Ab. Rahman Abb. Rashid, Yap Kim Fatt dan Ab. Rahim Selamat, 1997. Pengajian Melayu 1. Petaling Jaya: Longman.

Abdullah Hassan, 1980. Linguistik Am untuk Guru Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.

Ferdinand de Saussure, 1993. Pengantar Linguistik Umum. Diterjemah oleh Ajid Che Kob. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. (Teks asal dalam bahasa Inggeris.)

Kamus Dewan Edisi Ketiga, 1996. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Linguistik, 1997, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Lutfi Abas, 1975. Linguistik Deskriptif dan Nahu Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah Karim et. al., 1993. Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Arbak Othman, 1983. Permulaan Ilmu Linguistik: Satu Pengenalan Konsep dan Bidang Kajian Secara Teoritis. Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise.

1